Wednesday, August 1, 2012 | By: Aremiey

Safee tunggu lamaran kelab Thailand

PENYERANG Harimau Malaya, Safee Sali yang kini berehat panjang daripada sebarang aksi Liga Super Indonesia (ISL) menanti tawaran kelab luar yang memerlukan khidmatnya sebagai pemain pinjaman.

Safee yang mengakui turut menerima tawaran dari sebuah kelab berpangkalan di Thailand, juga bersedia dipinjamkan ke mana-mana kelab di negara Asean, memandangkan ISL berkemungkinan bermula lewat sehingga awal tahun hadapan.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai tawaran tersebut.

“Sehingga hari ini, saya masih menunggu tawaran dari mana-mana kelab atau pasukan yang memerlukan khidmat saya dan berharap keputusan dapat dicapai sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Amat penting untuk saya beraksi sepanjang tempoh rehat ini bagi mengekalkan tahap kecergasan dan mencari semula rentak permainan selain sebagai persediaan menghadapi Piala AFF hujung tahun ini,” katanya selepas program Beli Pakaian Raya bersama anak-anak
yatim Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah, di Subang Jaya, semalam.

Pada program itu, Safee yang juga duta jenama Mister Potato, mengambil inisiatif membantu golongan kurang bernasib baik.

“Saya amat terharu dapat berkongsi saat-saat kegembiraan ini dan melakukan persediaan raya bersama-sama,” katanya yang akan kembali ke Jakarta untuk persediaan musim baru ISL Ogos nanti.

Mengulas mengenai perlawanan persahabatan menentang Manchester City, kelmarin, Safee akui jurang perbezaan terutama dari segi pengalaman dan teknikal amat berbeza.

“Ini merupakan pengalaman berguna buat pasukan, namun saya tetap berpuas hati kerana kami mampu memberi saingan sehingga ke wisel penamat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment