Sunday, August 5, 2012 | By: Aremiey

Detik penentuan kilauan emas



Chong Wei hanya perlu menapak selangkah lagi bagi meraih pingat emas Sukan Olimpik 2012 di London.


MALAM ini akan menjadi detik penentuan buat kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik 2012 di London.
Adakah pingat emas pertama Sukan Olimpik yang diimpikan itu akan hadir atau hanya terus berpuas hati dengan perak?
Pingat perak sudah pasti berada dalam genggaman ekoran kejayaan pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei melangkah ke perlawanan akhir untuk menentang musuh tradisinya dari China, Lin Dan di Arena Wembley malam ini.

Satu lagi pingat yang mungkin hadir ialah menerusi beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang akan beraksi dalam perlawanan penentuan gangsa menentang beregu Korea Selatan, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae hari ini.
Semalam, gandingan Kien Keat-Boon Heong tewas di peringkat separuh akhir kepada jaguh China, Cai Yun-Fu Haifeng 21-9, 21-19.
Namun, malam ini Chong Wei akan menjawab segala persoalan itu sama ada dia bakal menghadiahkan kejayaan besar buat rakyat Malaysia atau sebaliknya.
Atas kertas, misi Chong Wei memang dilihat sukar kerana lawannya pada final bukannya calang-calang pemain.
Dalam beberapa pertemuan sebelum ini, Lin Dan sering menjadi halangan terhadap impian Chong Wei, namun kali ini, situasi mungkin berubah selepas melihat aksi luar biasa yang dipamerkan oleh jaguh negara itu sepanjang temasya Olimpik 2012 berlangsung.
Chong Wei dilihat sudah betul-betul bersedia untuk merealisasikan harapan seluruh rakyat Malaysia.
Rentak permainannya terus meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan dan jika dia terus mengekalkan rentak cemerlang itu, tidak mustahil untuknya membenam cabaran Lin Dan.
"Saya tidak mahu fikirkan gaya permainan Lin Dan. Saya hanya mahu fokus dengan diri sendiri. Memang kita tahu corak permainan Lin Dan sukar dibaca dan sebab itu saya perlu memberi fokus 100 peratus terhadap diri sendiri.
"Final merupakan perlawanan terakhir dan saya akan lakukan yang terbaik dan tidak perlu untuk simpan tenaga dan kalau boleh mengelak daripada melakukan kesilapan mudah," kata Chong Wei.
Ditanya mengenai strategi permainannya menentang Lin Dan malam ini, Chong Wei menjelaskan bahawa ia akan dibincangkan dengan jurulatih sebelum perlawanan itu bermula.
Katanya, mata awal sangat penting kerana ia akan membantu untuk menjejaskan rentak lawan.
"Bagi saya, apa yang lebih penting ialah untuk mencuri mata awal kerana secara psikologi ia akan menjejaskan fokus lawan.
"Kita tahu Lin Dan mempunyai corak permainan menyerang yang pantas, jadi saya perlu bijak menukar tempo" katanya.
Laluan Chong Wei ke final diperoleh menerusi kemenangan ke atas pemain India, Kashyap Parupalli di suku akhir 21-19, 21-11, diikuti kemenangan ke atas Chen Long dari China 21-13, 21-14 pada pusingan separuh akhir malam kelmarin.

0 comments:

Post a Comment